Pekasam Daging Ikan A&R

Pekasam Daging Ikan A&R

Friday, 16 May 2014

CELOTEH PENGENALAN DRPD CIK LI



Assalamualaikum. 

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM



Buat pertama kalinya, Cik Li menulis untuk blogspot Pekasam A&R. Terlebih dahulu Cik Li ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Pencipta Yang Maha Agung, Pemilik Yang Maha Hebat, Pemberi Yang Maha Pemurah, Pengasih Yang Maha Mengasihani, Penghukum Yang Maha Dahsyat, ALLAH YANG MAHA ESA. Di sebalik sikap dan sifat Cik Li yang penuh kelemahan dan kealpaan, ALLAH terus menerus memberi nikmat kepada Cik Li.

Seterusnya, Cik Li ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Papa dan Mama Cik Li, yang membesarkan dan sentiasa bersabar atas apa jua karenah dan masalah yg Cik Li buat, yang menyumbang apa saja termasuk modal di dalam penglibatan Cik Li dalam dunia pernniagaan sejak 10 tahun yang lalu. Seterusnya kepada ibu mertua Cik Li, yang mengizinkan Cik Li memiliki anak kesayangannya. Kepada arwah bapa mertua Cik Li (Al-Fatihah) yang memberi Cik Li kata-kata semangat di saat Cik Li keseorangan dan terumbang ambing di awal permulaan perniagaan. Kepada isteri (rakankongsi kehidupan dan perniagaan) dan anak-anak Cik Li yang sentiasa membantu dan bersama-sama Cik Li pada setiap waktu susah dan senang.

Dalam tulisan pertama ini, Cik Li ingin menceritakan sedikit sebanyak pengalaman Cik Li sejak bergelar usahawan. Selepas lebih kurang 4 tahun bekerja di Firma Audit Ernst & Young, pada 2 September 2004, Cik Li terjun ke dunia perniagaan, sebuah dunia yang sejak dahulu lagi Cik Li dengar akan cabaran dan kesengitan persaingannya. Cik Li memulakan perniagaan firma audit sendiri disamping meneruskan perniagaan pusat tuisyen yang dibuka sejak tahun 2002. Empat bulan pertama adalah tempoh waktu kritikal. Duit simpanan habis. Collection tak mampu menampung kos perbelanjaan perniagaan dan sara hidup. Maklumlah perniagaan berasaskan perkhidmatan seperti ini, payment sangat lambat. Kadang-kadang client hanya akan bayar sebelum kerja-kerja audit tahun berikutnya dimulakan (“bill to bill”). Pada masa tu, Cik Li hanya “one man show”. Cik Li adalah boss, pembantu audit, kerani, runner hatta tukang cuci pejabat. Tak mampu hire staff. Time kerja adalah 9 pagi – 2 pagi hampir setiap hari.  Balik malam menangis dalam hati tengok muka anak dan memikirkan nak beli susu dan pampers anak. Mujurlah isteri bekerja. Untuk mendapat duit lebih, Cik Li turut mengajar di pusat tuisyen sendiri. Empat bulan selepas menjalankan firma audit, Cik Li jual pusat tuisyen tu. Faktor utama penjualannya adalah disebabkan oleh faktor komitmen. Apabila kita kurang memberi tumpuan, maka macam-macam perkara berlaku. Antara benda besar yang berlaku adalah tenaga pengajar mula mengajar sambil lewa. Pernah terkantoi dengan Cik Li apabila salah seorang cikgu matematik sekolah rendah mngajar darjah 2 dengan topik darjah 5.

Dengan penutupan pusat tuisyen, tumpuan sepenuhnya diberikan kepada firma audit. Selepas setahun berniaga,, perniagaan semakin berkembang. Daripada menyewa sebahagian ofis orang, telah mampu menyewa satu unit. Daripada tak mampu nak ambil pekerja, dah mampu ambil 2 orang pekerja. Mungkin sudah terbiasa daripada kecil, Cik Li jenis yang tak reti duduk diam. Pada tahun 2006, Cik Li memasuki bidang pembekalan sebagai salah satu langkah mendivesifikasi perniagaan. Cik Li memilih untuk menjadi pembekal alatulis dan peralatan pejabat. Sekali lagi Cik Li disedarkan realiti perniagaan pembekalan khusus untuk orang melayu dan bumiputra. Apa tidaknya, pembekal dan pemborong Cina mengamalkan dasar dua harga. Harga yang diberikan kepada kedai melayu berbeza dengan kedai cina. 

Satu lagi pula, akibat daripada kekangan modal, Cik Li tidak mampu membeli dalam kuantiti borong, maka tidaklah dapat harga borong. Jadi barangan yang CIk Li jual sentiasa mahal berbanding kedai lain. Kalau nak jual harga yang sama, maka margin untung Cik Li sangatlah kecil. Pada saat Cik Li nak tutup kedai alatulis, Cik Li dapat satu peluang iaitu menjadi pengedar minyak additive jenama AMOIL. Cik Li memilih untuk menjadi Pengedar Negeri. Maka untuk memenuhi kuantiti minima Pengedar Negeri, Cik Li korbankan modal RM42,000. Selepas setahun berusaha bersungguh-sungguh, Cik Li dapati produk ini susah nak jalan atas satu sebab iaitu jenama ini adalah baru di Malaysia dan pengimport produk ini gagal menunaikan janji untuk membuat promosi dan iklan secara besar-besaran. Maka sekali lagi, pelaburan Cik Li terkandas. Cik Li nekad untuk tutup kedai alatulis dan minyak ini. Tapi pada hari terakhir bangunan itu nak diserahkan kepada pemilinya, terlintas di hati Cik Li untuk mencuba perniagaan rest.oren. Cik li pun mengeluarkan sedikit lagi modal untuk renovate kedai alatulis menjadi kedai kopi. Tahun pertama kedai kopi beroperasi, sangat laris dan berjalan lancer. Boleh tahan juga keuntungan yang dijana. Pada masa itu juga, pemilik bangunan membuat tawaran istimewa untuk menjual bangunan tersebut. Apa lagi Cik Li pun terus sambar tawaran tersebut. Syukur bangunan 3 tingkat tersebut menjadi milik Cik Li. Cik Li membelanjakan sedikit modal lagi untuk menaiktaraf kedai kopi itu mengikut spesifikasi Majlis Bandaraya Alor Setar. Namun panas tidak sampai ke petang, berlaku masalah pekerja dan kualiti di kedai kopi tersebut. Cik Li merasa letih untuk meneruskan perniagaan yang Cik Li tidak mempunyai kepakaran. Akhirnya Cik Li tutup kedai kopi tersebut. Bangunan kedai kopi yang terletak di tingkat bawah itu, Cik Li sewakan kepada orang lain. Tingkat 1 & 2, Cik Li jadikan pejabat Audit. Mulai Jun 2009, Cik Li hanya menjalankan perniagaan firma audit, perniagaan lain semua sudah tiada. Cik Li rasakan mungkin Cik Li hanya pandai buat audit, maka itu sajalah yang sesuai. Cik Li tak mahu lagi menceburi bidang lain. 

Pada penghujung tahun 2011, isteri Cik Li iaitu Cik Rini pula mengemukakan cadangan untuk membuka kedai barangan bayi disamping menjadi SHAKLEY independent distributor. Cik Li yang sudah tidak berminat dengan perniagaan pembekalan ini, hanya memberi modal untuk CIk RIni jalankan perniagaannya. Cik Li tak masuk campur dalam pengurusannya. Alhamdulillah, berkat usaha Cik RIni yang memulakan perniagaannya secara online, peniagaannya semakin hari semakin berkembang sehingga sekarang. Namun, Cik Rini juga tidak terlepas daripada menghadapi masalah khususnya masalah pekerja.

Pada bulan September 2014, Cik Li mengikuti seorang pelanggan audit ke Misi Dagangan Makanan Halal selama 2 hari ke Hadyai, Thailand bersama Dato” Mustapha Mohamad. Cik Li tidak berminat dengan apa yang dibincangkan di dalam dewan tersebut. Pemegian Cik Li ke sana hanya bertujuan untuk berkenal-kenalan dengan tauke-tauke kilang makanan dan buat marketing untuk firma audit. Namun pada hari kedua, salah satu ucapan daripada boss MATRADE menyentuh hati dan membuka minda Cik Li. Beliau memberitahu bahawa industri makanan dunia akan mencapai tahap kritikal menjelang tahun 2020, yakni permintaan akan melebihi penawaran. Namun bagi industri makanan halal, ianya sudah pun berada pada tahap kritikal. Seterusnya beliau menyeru kepada para peserta yang hadir pada hari itu untuk memperkukuhkan syarikat masing-masing di dalam industri manakala kepada yang belum terlibat di dalam industri makanan, dialu-alukan penglibatan mereka. Ucapan ini merangsang minat Cik Li untuk menyertai industri makanan. Namun, sebagai seorang yang masih fobia dengan perniagaan pembekalan, Cik Li merasakan perlu terlibat dengan industri makanan sebagai pengilang. Selepas sesi rehat, Cik Li mula aktif mengambil tahu bisnes-bisnes yang dilakukan oleh para peserta. Ada yang buka kilang roti, kilang mee, kilang daging salai, kilang belacan, kilang serunding, kilang sos, kilang bebola ikan dan macam-macam lagi. Cik Li mula mengkaji jenis-jenis makanan yang saya boleh usahakan. Setelah dikaji cara proses, Cik Li memilih untuk membuat daging pekasam. Lagipun, makanan ini masih kurang di pasaran. Kira-kira “rare” gitu. Selepas balik dari Hadyai, Cik Li mula melakukan kajian mendalam berkaitan dengan daging pekasam. Selepas merujuk kepada beberapa sumber yang dipercayai, Cik Li mendapat maklumat daripada segi cara proses dan bahan-bahan perapan, dua perkara terpenting di dalam penghasilan daging pekasam. Kajian lebih mendalam dilakukan termasuk berguru dengan Pakar Teknologi Makanan dan melakukan R&D secara fizikal. Proses ini mengambil masa 7 bulan dan kira-kira 200kg terbuang kerana proses tidak menjadi. Syukur, sekarang Pekasam A&R sudah mendapat tempat di hati penggemar pekasam. Pada bulan September 2014,  Pekasam A&R maju setapak lagi dengan membuka bengkel memproses di Kg Kota Aur, Sik. Bengkel tersebut kini sedang dalam proses kelulusan sijil MESTI dan sijil HALAL. Dari segi pemasaran, dengan adanya lori, pekasam A&R kini diedarkan di kedai-kedai dan pasar-pasar terpiih di seluruh Semenanjung. Pekasam A&R juga memiliki agen-agen individu di seluruh Negara.

 Setakat ni dulu, celoteh Cik Li kali ini. Sehingga bertemu lagi, Cik Li undur diri dulu dengan lafaz Assalamualaikum.


No comments:

Post a Comment