Assalamualaikum.
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Buat pertama kalinya, Cik Li
menulis untuk blogspot Pekasam A&R. Terlebih dahulu Cik Li ingin
memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Pencipta Yang Maha Agung, Pemilik
Yang Maha Hebat, Pemberi Yang Maha Pemurah, Pengasih Yang Maha Mengasihani,
Penghukum Yang Maha Dahsyat, ALLAH YANG MAHA ESA. Di sebalik sikap dan sifat
Cik Li yang penuh kelemahan dan kealpaan, ALLAH terus menerus memberi nikmat
kepada Cik Li.
Seterusnya, Cik Li ingin
mengucapkan jutaan terima kasih kepada Papa dan Mama Cik Li, yang membesarkan
dan sentiasa bersabar atas apa jua karenah dan masalah yg Cik Li buat, yang
menyumbang apa saja termasuk modal di dalam penglibatan Cik Li dalam dunia
pernniagaan sejak 10 tahun yang lalu. Seterusnya kepada ibu mertua Cik Li, yang
mengizinkan Cik Li memiliki anak kesayangannya. Kepada arwah bapa mertua Cik Li
(Al-Fatihah) yang memberi Cik Li kata-kata semangat di saat Cik Li keseorangan
dan terumbang ambing di awal permulaan perniagaan. Kepada isteri (rakankongsi
kehidupan dan perniagaan) dan anak-anak Cik Li yang sentiasa membantu dan
bersama-sama Cik Li pada setiap waktu susah dan senang.
Dalam tulisan pertama ini, Cik Li
ingin menceritakan sedikit sebanyak pengalaman Cik Li sejak bergelar usahawan.
Selepas lebih kurang 4 tahun bekerja di Firma Audit Ernst & Young, pada 2
September 2004, Cik Li terjun ke dunia perniagaan, sebuah dunia yang sejak
dahulu lagi Cik Li dengar akan cabaran dan kesengitan persaingannya. Cik Li
memulakan perniagaan firma audit sendiri disamping meneruskan perniagaan pusat
tuisyen yang dibuka sejak tahun 2002. Empat bulan pertama adalah tempoh waktu
kritikal. Duit simpanan habis. Collection tak mampu menampung kos perbelanjaan
perniagaan dan sara hidup. Maklumlah perniagaan berasaskan perkhidmatan seperti
ini, payment sangat lambat. Kadang-kadang client hanya akan bayar sebelum
kerja-kerja audit tahun berikutnya dimulakan (“bill to bill”). Pada masa tu,
Cik Li hanya “one man show”. Cik Li adalah boss, pembantu audit, kerani, runner
hatta tukang cuci pejabat. Tak mampu hire staff. Time kerja adalah 9 pagi – 2
pagi hampir setiap hari. Balik malam
menangis dalam hati tengok muka anak dan memikirkan nak beli susu dan pampers
anak. Mujurlah isteri bekerja. Untuk mendapat duit lebih, Cik Li turut mengajar
di pusat tuisyen sendiri. Empat bulan selepas menjalankan firma audit, Cik Li
jual pusat tuisyen tu. Faktor utama penjualannya adalah disebabkan oleh faktor
komitmen. Apabila kita kurang memberi tumpuan, maka macam-macam perkara
berlaku. Antara benda besar yang berlaku adalah tenaga pengajar mula mengajar
sambil lewa. Pernah terkantoi dengan Cik Li apabila salah seorang cikgu
matematik sekolah rendah mngajar darjah 2 dengan topik darjah 5.
Dengan penutupan pusat tuisyen,
tumpuan sepenuhnya diberikan kepada firma audit. Selepas setahun berniaga,,
perniagaan semakin berkembang. Daripada menyewa sebahagian ofis orang, telah
mampu menyewa satu unit. Daripada tak mampu nak ambil pekerja, dah mampu ambil
2 orang pekerja. Mungkin sudah terbiasa daripada kecil, Cik Li jenis yang tak
reti duduk diam. Pada tahun 2006, Cik Li memasuki bidang pembekalan sebagai
salah satu langkah mendivesifikasi perniagaan. Cik Li memilih untuk menjadi
pembekal alatulis dan peralatan pejabat. Sekali lagi Cik Li disedarkan realiti
perniagaan pembekalan khusus untuk orang melayu dan bumiputra. Apa tidaknya,
pembekal dan pemborong Cina mengamalkan dasar dua harga. Harga yang diberikan
kepada kedai melayu berbeza dengan kedai cina.
Satu lagi pula, akibat daripada
kekangan modal, Cik Li tidak mampu membeli dalam kuantiti borong, maka tidaklah dapat harga
borong. Jadi barangan yang CIk Li jual sentiasa mahal berbanding kedai lain.
Kalau nak jual harga yang sama, maka margin untung Cik Li sangatlah kecil. Pada
saat Cik Li nak tutup kedai alatulis, Cik Li dapat satu peluang iaitu menjadi
pengedar minyak additive jenama AMOIL. Cik Li memilih untuk menjadi Pengedar
Negeri. Maka untuk memenuhi kuantiti minima Pengedar Negeri, Cik Li korbankan
modal RM42,000. Selepas setahun berusaha bersungguh-sungguh, Cik Li dapati
produk ini susah nak jalan atas satu sebab iaitu jenama ini adalah baru di
Malaysia dan pengimport produk ini gagal menunaikan janji untuk membuat promosi
dan iklan secara besar-besaran. Maka sekali lagi, pelaburan Cik Li terkandas.
Cik Li nekad untuk tutup kedai alatulis dan minyak ini. Tapi pada hari terakhir
bangunan itu nak diserahkan kepada pemilinya, terlintas di hati Cik Li untuk
mencuba perniagaan rest.oren. Cik li pun mengeluarkan sedikit lagi modal untuk
renovate kedai alatulis menjadi kedai kopi. Tahun pertama kedai kopi
beroperasi, sangat laris dan berjalan lancer. Boleh tahan juga keuntungan yang
dijana. Pada masa itu juga, pemilik bangunan membuat tawaran istimewa untuk
menjual bangunan tersebut. Apa lagi Cik Li pun terus sambar tawaran tersebut.
Syukur bangunan 3 tingkat tersebut menjadi milik Cik Li. Cik Li membelanjakan
sedikit modal lagi untuk menaiktaraf kedai kopi itu mengikut spesifikasi Majlis
Bandaraya Alor Setar. Namun panas tidak sampai ke petang, berlaku masalah
pekerja dan kualiti di kedai kopi tersebut. Cik Li merasa letih untuk
meneruskan perniagaan yang Cik Li tidak mempunyai kepakaran. Akhirnya Cik Li
tutup kedai kopi tersebut. Bangunan kedai kopi yang terletak di tingkat bawah
itu, Cik Li sewakan kepada orang lain. Tingkat 1 & 2, Cik Li jadikan
pejabat Audit. Mulai Jun 2009, Cik Li hanya menjalankan perniagaan firma audit,
perniagaan lain semua sudah tiada. Cik Li rasakan mungkin Cik Li hanya pandai
buat audit, maka itu sajalah yang sesuai. Cik Li tak mahu lagi menceburi bidang
lain.
Pada penghujung tahun 2011,
isteri Cik Li iaitu Cik Rini pula mengemukakan cadangan untuk membuka kedai
barangan bayi disamping menjadi SHAKLEY independent distributor. Cik Li yang
sudah tidak berminat dengan perniagaan pembekalan ini, hanya memberi modal
untuk CIk RIni jalankan perniagaannya. Cik Li tak masuk campur dalam
pengurusannya. Alhamdulillah, berkat usaha Cik RIni yang memulakan
perniagaannya secara online, peniagaannya semakin hari semakin berkembang
sehingga sekarang. Namun, Cik Rini juga tidak terlepas daripada menghadapi
masalah khususnya masalah pekerja.
Pada bulan September 2014, Cik Li
mengikuti seorang pelanggan audit ke Misi Dagangan Makanan Halal selama 2 hari
ke Hadyai, Thailand bersama Dato” Mustapha Mohamad. Cik Li tidak berminat
dengan apa yang dibincangkan di dalam dewan tersebut. Pemegian Cik Li ke sana
hanya bertujuan untuk berkenal-kenalan dengan tauke-tauke kilang makanan dan buat
marketing untuk firma audit. Namun pada hari kedua, salah satu ucapan daripada
boss MATRADE menyentuh hati dan membuka minda Cik Li. Beliau memberitahu bahawa
industri makanan dunia akan mencapai tahap kritikal menjelang tahun 2020, yakni
permintaan akan melebihi penawaran. Namun bagi industri makanan halal, ianya
sudah pun berada pada tahap kritikal. Seterusnya beliau menyeru kepada para
peserta yang hadir pada hari itu untuk memperkukuhkan syarikat masing-masing di
dalam industri manakala kepada yang belum terlibat di dalam industri makanan,
dialu-alukan penglibatan mereka. Ucapan ini merangsang minat Cik Li untuk
menyertai industri makanan. Namun, sebagai seorang yang masih fobia dengan perniagaan
pembekalan, Cik Li merasakan perlu terlibat dengan industri makanan sebagai
pengilang. Selepas sesi rehat, Cik Li mula aktif mengambil tahu bisnes-bisnes
yang dilakukan oleh para peserta. Ada yang buka kilang roti, kilang mee, kilang
daging salai, kilang belacan, kilang serunding, kilang sos, kilang bebola ikan
dan macam-macam lagi. Cik Li mula mengkaji jenis-jenis makanan yang saya boleh
usahakan. Setelah dikaji cara proses, Cik Li memilih untuk membuat daging
pekasam. Lagipun, makanan ini masih kurang di pasaran. Kira-kira “rare” gitu.
Selepas balik dari Hadyai, Cik Li mula melakukan kajian mendalam berkaitan
dengan daging pekasam. Selepas merujuk kepada beberapa sumber yang dipercayai, Cik
Li mendapat maklumat daripada segi cara proses dan bahan-bahan perapan, dua
perkara terpenting di dalam penghasilan daging pekasam. Kajian lebih mendalam
dilakukan termasuk berguru dengan Pakar Teknologi Makanan dan melakukan R&D
secara fizikal. Proses ini mengambil masa 7 bulan dan kira-kira 200kg terbuang
kerana proses tidak menjadi. Syukur, sekarang Pekasam A&R sudah mendapat
tempat di hati penggemar pekasam. Pada bulan September 2014, Pekasam A&R maju setapak lagi dengan
membuka bengkel memproses di Kg Kota Aur, Sik. Bengkel tersebut kini sedang
dalam proses kelulusan sijil MESTI dan sijil HALAL. Dari segi pemasaran, dengan
adanya lori, pekasam A&R kini diedarkan di kedai-kedai dan pasar-pasar
terpiih di seluruh Semenanjung. Pekasam A&R juga memiliki agen-agen
individu di seluruh Negara.
Setakat ni dulu, celoteh Cik Li kali ini. Sehingga
bertemu lagi, Cik Li undur diri dulu dengan lafaz Assalamualaikum.